Program UCE St. John dengan Sekolah Barathee & Sekolah Damai.

Program UCE St. John dengan Sekolah Barathee & Sekolah Damai

.Segalanya bermula daripada Projek Minggu St. John pada sidang lepas, iaitu 2014/15. Pada Minggu St. John yang lepas, St. John Ambulans Malaysia Kor Universiti Sains Malaysia telah menjalankan tugas kebajikan yang berbeza di kedua-dua buah sekolah ini. Penganjuran program tersebut adalah berasaskan konsep UCE yang telah diperkenalkan. UCE merupakan satu proses warga universiti dan masyarakat membina perhubungan yang berterusan dan kekal serta mengaplikasikan suatu wawasan kolaboratif yang menguntungkan. Sejak itu, Sekolah Subramaniya Barathee dan Sekolah Damai telah menjadi sekolah angkat kepada St. John.

Pada sidang yang lepas, sekumpulan pelajar telah melawat Sekolah Damai dan SJK(T) Subramaniya Barathee sempena Minggu St. John untuk memberikan khidmat masyarakat melalui aktiviti gotong-royong dan memberi bimbingan kepada murid sekolah. Tahun ini selaras dgn program UCE (Libatsama Universiti-Komuniti ), setiap ahli St. John Tahun kedua (WJA 202) diwajibkan untuk melakukan tugas kebajikan di Sekolah Barathee selama 3 jam pada setiap hari Sabtu sehingga 31 Oktober 2015. Program yang dijalankan di SJK(T) Subramaniya Baraathee adalah Program Mengajar Ilmu Pertolongan Cemas. Topik yang diajar adalah pengenalan kepada Pertolongan Cemas atau First Aid, balutan asas, komunikasi semasa kecemasan, penyakit lain seperti asma, pitam, tekanan darah yang rendah, digigit oleh binatang liar, renjatan elektrik, strok dan sebagainya serta cara untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Manakala bagi Sekolah Damai pula, setiap ahli-ahli St. John Tahun kedua (WJA 202) perlu melibatkan diri dalam Program UCE di sekolah tersebut selama 2 jam sepanjang sidang. Program yang dijalankan di Sekolah Damai adalah memberi Kelas Tambahan kepada pelajar tadika dan pelajar tahun 2. Bilangan murid bagi Sekolah Damai Murid Tadika dan Tahun 2 adalah sebanyak 10 orang masing-masing. Ahli-ahli St. John yang akan menjalankan tugas kebajikan di sekolah tersebut akan memberikan kelas tambahan dengan mengajar mereka kerana Sekolah Damai kekurangan tenaga pengajar. Subjek yang diajar adalah tiga sahaja,

iaitu Matematik, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Program ini berjalan tigakali seminggu dan setiap kali adalah selama 2 jam.